1976-1981 Penghijrahan Hidup

Walaupon pernah ke Kuala Lumpur pada Sept 1975 semasa Kejohanan Sukan Antara Sekolah Berasrama Penuh, ianya hanya perjalanan singkat yang tidak ada masa untuk bersiar siar semuanya ikut jadual yang ketat sehingga selesai majlis Pertandingan Akhir Debat Perdana Menteri di Dewan Angksapuri RTM.

Bekerja di Kilang Kertas

Namun kali ini selesai SPM, aku telah memula cari kerja sambilan. Dapat bekerja di Kilang Kertas PPh yang membuat kotak utk isi tin dan botol jualan seperti minyak masak, plant, milo dll.

Bekerja di Kilang merupakan satu pengalaman yang unik kerana semuanya penuh displin ikut peraturan. Masuk jam 7 pagi balik jam 5 ptg dan jika ada O.T sampai jam 7.00 mlm. Aku ditempatkan di unit cetak kotak yang memerlukan pengiraan utk setkan “getah cop pencetak” yang telah siap di tempah oleh kilang ikut corak. Jika ada 3 Warna kena ada 3set getak cop pencetak ditampal pada roller sebesar balak 8 inci. Abang Din pekerja 10 tahun pengalaman sebagai ketua unit cetak. Ada 2 lagi pembantu kepada Abang Din. Semua kerja ikut arahan JobSheet.

Persiapan untuk masuk ke Universiti juga banyak pilihan. Pertama ada usaha untuk memohon masuk ke Program Integrasi Ijazah Sains Elektrik Elektronik UTM. Tapi memandangkan Fizik tidak mencapai Gred A, maka permohonan telah ditolak. Hanya 20 pelajar sahaja terpilih.

Maka tiada pilihan lain menunggu tawaran masuk program Matrikulasi UKM untuk batch ke 3 di Sekolah Alam Shah KL. Sekitar bulan April 1976 mendapat surat tawaran ke Program Matrikulasi UKM. Sekali lagi ayah dan ibu terpaksa bersiap dengan sejumlah wang sebagai persediaan untuk hantar aku ke sana. Barang barang pakaian tidak lah terlalu terdesak tapi kos perjalanan dari Johor Baharu ke Cheras KL untuk 3 orang sangat tinggi termasuk tambang, kos makan dan penginapan 3hari2malam.

Ayah telah berbincang dengan kenalan Pak Cik Osman untuk meminjamkan kereta Toyota KE20 untuk hantar aku ke Sekolah Alam Shah. Bertolak sekitar jam 7 pagi dari Johor melintasi bandar Ayer Hitam, B.Pahat, Muar dan Melaka. Pendingin Hawa Kereta Rosak, terpaksa berhenti ganti alternator baru. Bergerak semula ke Seremban, Kajang dan akhirnya sampai di Kg Pandan Kuala Lumpur jam 7.00 malam.

Waktu malam sempat Pakcik Osman ajak kami berjalan kaki ke simpang Pekan Ampang ke restoran utk makan malam. Dahulu tak berapa cam lokasi tersebut. Tapi sekarang kalau ke Ampang Point, dapat kenal pasti lokasi berkenaan adalah deretan kedai bersebelahan Wisma Risda. menuju ke Kuala Ampang.

Memulakan pengajian di Pusat Matrikulasi UKM. Selesai pendaftaran dan bersalaman ayah dan ibu berlepas pulang bersama PakCik Osman ke Johor Bahru. Sekali lagi aku bertemu rakan rakan baru di tempat yang baru. Terdapat juga ramai rakan dari SMSJ turut mendaftar diri di Sekolah Alam Shah. Ibrahim Mokti, Ayub Sawabi, Omar Emran, Paimin Kasimon, Nizar Embi dll

Tapi ramai yang memilih jalan masing masing ke UPM, UTM, USM, UM dll. Disebabkan 1970an alat komunikasi hanya melalui telefon dan telefon awam, kami hampir terputus hubungan beberapa waktu. Sehingga mengetahui ada yang menyambung di UPM. Maka berjumpa bila ada Pesta Konvo.

Malam pertama di Sekolah Alam Shah, makan malam masih belum tersedia. Jadi aku dengan rakan sebilik yang baru, Adnan Ali, Mr Rod@pelajar SAS yang baru kenal dan beberapa orang berjalan ke jalan utama menuju ke gerai makan. Aku terpandang tertulis LAKSA. Aku memang peminat giler laksa johor. Jadi terus pesan 1 pinggan laksa. Tiba tiba bila dihantar hidangan terkejut aku kerana yg terhidang laksa utara dengan kuah asam yang memang aku tidak suka makan sama seperti lauk singgang asam. Rupanya di KL yang dijual kebanyakknya Laksa Utara.

!977 selepas keputusan Matrikulasi dikeluarkan ada borang pilihan aliran Perubatan atau Sains. Aku memang tidak minat dengan Perubatan kerana takut tengok mayat dan darah. Maka tiada pilihan selain aliran Sains.

Melapor diri ke Tahun Pertama UKM

Tidak seperti masa masuk ke sekolah asrama dan juga semasa memasukki Matrikulasi, pada usia 19 tahun dan sudah biasa dengan Kuala Lumpur, Aku mendaftar sendiri tanpa ayah dan ibu ke Kolej Kedua UKM di Jalan Universiti sehari lebih awal sebelum mahasiswa lain datang esoknya. Ini membolehkan aku berkenalan dengan Senior yang menjadi urusetia Minggu Suaikenal di Kolej Kediaman. En Jamal Ali, En Ali Hj Ahmad, Dr Shamsudin Rahim dan seorang Senior Wanita yang aku lupa namanya.

Aku memulakan kehidupan di UKM sebagai junior yang sangat mesra Senior. Tiada istilah Ragging di UKM. Proses Suaikenal sangat baik. Kami diperkenalkan kepada program dan kursus sebelum Hari Pendaftaran sebenar. Dan mengadakan lawatan ke Perpustakaan.

Aku memilih untuk mengambil 4 subjek pada tahun 1. Matematik, Statistik, Fizik dan Sains Komputer. Satu matapelajaran yang sangat asing kepada generasi aku.

Berjualan di Kampus Jalan Pantai

Pengalaman sepanjang 4 tahun di UKM amat menarik kerana aku cuba berdikari tanpa menyusahkan kedua ayah ibu. Mula menjual kalkulator saintifik kepada pelajar sains yang memerlukan untuk pengiraan. Harga di Kuala Lumpur sekitar RM90-RM120 seunit. Aku mengambil pesanan dengan harga RM70 seunit dari rakan rakan dan akan ke Singapura untuk membeli stok yang diperlukan dengan harga RM35-RM45 seunit. Satu masa dapat pesanan 30 unit dengan sedikit keuntungan aku dapat menampung kos sara hidup di kampus.

Bersukan di kampus

Di UKM akan meneruskan minat bersukan di Kolej Kediaman dan Kampus. Sukan Sepak Takraw ramai pemain berbakat agak sukar untuk terpilih dalam team kolej kediaman. Tapi Sukan Rugby tidak ramai yang berani dan pernah bermain. Jadi aku mendapat tempat dalam pasukan Rugby Fakulti Sains. Team kami tidak lah sekuat team Fakulti Sastera. Namun masih terpilih untuk mewakil UKM ke pertandingan sukan antara IPTA di USM pada tahun 1979.

Berpersatuan di Kampus Jalan Pantai

Satu lagi aktiviti ialah berpersatuan untuk merapatkan persahabatan antara mahasiswa. Aku telah menubuhkan Persatuan Mahasiswa Sains Komputer dan menjadi Presiden Pertama pada tahun 1979 dengan Motto FIKIR RANCANG LAKSANA.

Juga berpeluang menjadi AJK Kecil dalam Persatuan Mahasiswa Sains Jalan Pantai bagi menjalakan Minggu Kebudayaan Antara bangsa pada tahun 1979.

Berkerja sambil Menyiapkan Tahun kepujian

Tahun 1980 merupakan tahun ke 4 di UKM. Aku telah memilih untuk menjadikan Sains Komputer sebagai Major kepada Program Ijazah Sarjana Muda Sains dan telah menjalani 2 kali penempatan Latihan Industri. 1978 di Unit Komputer Felda dan 1979 di IT Division, Malaysian Airlines System.

Jabatan Perkhidmatan Awam ada menawarkan Penempatan Jawatan Juruanliasa Sistem Sementara kepada lepasan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer tanpa ada kepujian.

Dengan Surat Pengesahan Dekan, aku telah hadir di Bhg Penempatan JPA untuk mendaftar diri menjawat jawatan di Unit Perancang Ekonomi JPM. Ia bersesuaian dengan bidang pengajian aku iaitu Statistik dan Sains Komputer. Melapor diri pada 1 Oktober 1980, akan ditempatkan di Unit Data EPU Jalan Dato Onn.

Aku diberi pelepasan beberapa hari untuk ke kampus mengikut kuliah Tahun 4 dan bekerja secara sambilan dengan Elaun RM660.00 sebulan. Satu jumlah yang agak baik bagi seorang pelajar. Aku menumpang di rumah Ketua Unit , Dr Abd. Rashid Rahim di sebelah Asrama Yaysan Pelajar Anda dekat Balai Berita / NST Bangsar.

Bertugas di EPU JPM

Banyak ilmu yang diperolehi semasa bertugas di EPU. Aku diberi tugas menganalisa data banci pertanian 1976 menggunakan Perisian SPSS yang tidak pernah aku guna sebelum ini. Tapi berkat asas yang diajar di UKM aku berjaya mempelajari dengan pantas. Begitu juga untuk memproses data, aku terpaksa mempelajari sistem komputer IBM VM/CMS yang berlainan dengan apa yang ada di kampus UKM. Sehingga aku mengabiskan masa lepas waktu pejabat jam 4.00 ptg hingga jam 7.00 mlm untuk mempelajari arahan dan cara kerja VM/CMS.