1964-1966 Zaman Setinggan Pertama
Ayah Berpindah ke Kampung Majidee Baru pada awal 1964. Menerima tawaran untuk menjadi pekerja di Kedai Runcit Jalan Bunga Raya Besar.
Kami sekeluarga 4 beradik duduk di sebuah bilik di belakang rumah kedai. Bersesak dalam satu ruang 10 x 20 kaki tanpa sekatan antara ruang dapor dan tempat tidur. Abang yang sulong Jaafar telah mula bersekolah pada tahun 1963 lagi. Abang ke sekolah menaiki “Bas Sekolah” yang merupakan sebuah van kecil yang sesak dengan 20 murid murid dihantar ke Sek Rendah Ayer Molek. Saya masih belum mengerti erti kepayahan kehidupan keluarga kerana keperluan asas sentiasa ada di dalam kedai runcit berkenaan.
Sehingga pada satu malam dalam tahun 1964 setelah berlaku kebakaran kecil di ruang tempat tidor kami. Mungkin ada berlaku sedikit perbincangan antara Ayah dengan Pemilik Kedai, maka pada satu malam, Ayah mula memindahkan barang milik kami ke satu “pondok’ 10×10 kaki di sebuah lurah yang merupakan kebun yang diteroka oleh Abang Yatim. Dengan kebenaran Abang Yatim, maka kami 6 beranak bermalam di atas lantai atas pondok tidak bertingkap dan pintu. Bhg bawah pondok dilonggok barang barang yang masih berbungkus.
Maka bermulalah kehidupan sebagai “Peneroka Tanah Kerajaan” atau lebih dikenali sebagai “Setinggan” yang pertama di kawasan tanah tersebut. Rumah tersebut tidak jauh hanya 100meter di depan rumah kedai yang kami tinggalkan.
Dalam kegelapan malam saya dan abang akan menyusur tepi parit menuju ke jalan utk ke rumah Atuk Guru Ngaji kami Haji Majid yg terletak di depan Rumah No 104 Kedai yang pernah kami diami .. Sebelah rumahnya No 102 Rumah Pak Yahya dan No 100 Rumah Haji Kassim. Hujung sekali Rumah No 106 yang ada Televisyen untuk ditonton secara “bayar tiket 10sen” jika ada tayang filem melayu. Di rumah Guru Mengaji kami ada TV juga yang kebanyakan masa menonton Siri Wrestling.
Kehidupan semakin sesak dan di hempit kesempitan wang. Ayah berusaha bertugas sebagai Perinyu Veterina utk bertugas sebagai Penembak Anjing Liar. Dengan pendapatan yang tidak seberapa, Ayah membina rumah 20 x 20 di satu sudut bawah kaki bukit di kawasan kebun yang sama.
1965, aku telah mulakan persekolahan Darjah 1. Aku akan membonceng basikal tua ayah yang diikat senapang patah. Berkayuh dari Kg Majidee ke Bandar Johor Bahru. Satu jarak yang agak jauh 5 batu melalui Kebun Teh dan Kg Wadi Hassan menuju ke Jalan Yahya Awal sebelum sampai ke Jln Ayer Molek. Tengahari Ayah akan datang ambil aku untuk bawa pulang singgah di rumah pusaka kami yang didiami Wak Don & Chu Gayah Sekeluarga. Hubungan Ayah dengan Adiknya Chu Gayah sangat baik. Biasa kalau sebelah pagi sempat kami bersarapan dulu sebelum ke Sekolah.
Kesempitan hidup semakin terasa dengan kelahiran adik permpuan Nor Haida pada April 1965. Ayah mengambil keputusan untuk menyerahkan hak penjagaan kepada Keluarga Cikgu Zainal bagi mengurangkan beban perbelanjaan keluarga. Walaupun rumah Cikgu Zainal tidak lah jauh hanya 2 lorong di Kg Majidee juga, kesedihan ibu yang melahirkan tetap menitiskan air mata perpisahan. Maka membesarlah Nor Haida tanpa mengetahui kami 4 beradik adalah abang kandung mereka.
Akhir 1966 sekali lagi datang rezeki kelahiran adik perempuan anak ke 6 , Aida. Kali ini Ayah berbincang dengan Pak Long Atan, Abang Sulong kepada Ibu yang menetap di Bukit Pasir Batu Pahat untuk menyerakan Aida kepada Keluarga Mak Zah dan Cikgu Rahmat. Kali ini peristiwa perpisahan lebih meruntun jiwa kerana jarak Batu Pahat 60 batu ke utara seperti 600km kerana perlu perjalanan lebih 4 jam berkereta ke sana. Tidak mungkin untuk dapat selalu bertemu. Tidak seperti Adik Nor Haidah yang boleh berjalan kaki ke rumah Mak Zainab Isteri Cikgu Zainal di jalan Bunga Melor.
Kehidupan 1964-1966 yang sangat susah sehingga terpaksa meminta bantuan keluarga Mak Ngah Rahimah, Pak Ngah Aziz di 38 Jalan Bunga Melor dan Keluarga Pak Noryakin di Jalan Bunga Raya Besar yang sudah dianggap sebagai keluarga oleh ayah dan ibu.
Akhinya pada 1 Oktober 1966, ayah berjaya mendapat Kerja Tetap sebagai Penjaga Sekolah. Bermula lah episod kehidupan yang lebih sempurna dengan gaji bulan RM90.00 bagi menampung belanja kami 4org anak lelaki yang sedang membesar.