1974-1975 Penghijrahan Minda
Aku ceritakan episod 2 tahun yang mengubah cara fikir dan cari bertindak dalam mengejar ilmu. Selepas keluar keputusan SRP 1973, dengan pencapaian yang dibuat, peluang untuk aku ke sekolah asrama penuh amat cerah. Segala angan angan berputar di minda. Ke mana dan sekolah mana yang bakal aku ditawarkan.
Permulaan tahun 1974, aku dan semua rakan rakan ditempatkan di Kelas 4Sain1 Sekolah Sultan Ismail Johor Bahru. Maka setiap hari aku akan menaiki bas Alex ke bandar dan berhenti di hentian bas dekat simpang nak ke Tasik Utara. Akan melalui Kubur Cina menujuk ke SSI.
Dalam Kelas 4Sains1 ada pelajar dari Sekolah Ulu Tiram, Larkin, BBU, Pontian dan malah dari Teluk Ramonia pon ada. Semua kami berdebar menunggu panggilan tawaran yang biasa dihantar ke Pejabat Guru Besar SSI. Satu demi satu di panggil. Yang awal pasti lah Khadijah Zakaria, pelajar paling cerdik di SMK Majidee , awal lagi telah dapat tawaran ke Sekolah Asrama Kolam Air KL. Sekolah paling gah bagi Perempuan aliran Melayu.
Hari demi hari berlalu, dari Januari melepasi Februari, Shahir sahabat baik aku telah pon dapat tawaran sekolah menengah teknik, juga sekolah berasrama. Beberapa nama sudah dipanggil dan tinggal lah aku dan Halim Ismail pelajar no 2 dalam sekolah masih tidak dapat panggilan mana mana Sekolah.
Dalam kesibukan itu aku sempat mengikut mata pelajaran tingkatan 4 seperti Fizik, Matematik, Biologi dan Kimia di SSI. Yang paling seronok masuk Makmal. Makmal Biologi lengkap dengan peralatan. Sempat kami di ajar cara membedah seekor katak untuk melihat organ dan sistem penghadaman seekor katak.
Disamping itu aku menyertai Kadet Polis sebagai aktiviti KoKurikulum. Memasuki awal bulan Mac 1974, masih belum lagi dapat mana mana tawaran. Pasukan Kadet telah mengadakan latihan intensif untuk memilih siapa yang layak menjadi Sarjan untuk mengetuai Pasukan Kawad Kadet sempena Hari Polis pada akhir bulan Mac nanti. Aku mencubakan diri. Antara syarat ialah seorang yang tegas, tegap dan boleh melaungkan Arahan yang jelas boleh didengar dari jarak 1 km.
Pada pertengahan Mac sedang sibuk persiapan untuk Majlis Sambutan Hari Polis 1974, terdengar dicorong pembesar suara senarai beberapa nama pelajar yang mendapat tawaran masuk ke Sekolah Menengah Sains Johor, Kluang. Satu nama baru dalam sekolah berasrama penuh. Sebenarnya di Asrama Sekolah SSI sudah ada satu kumpulan pelajar Tingkatan 1 & 2 mendiami asrama sementara menunggu sekolah siap dibina.
Maka nama nama Halim, Razali Mahmud, Kamsiah Seth, Maimunah Md Said, Aku sendiri terpilih ke Sekolah Menengah Sains Johor, Kluang. Aku tidak pernah ke Kluang. Tapi pernah menaiki Bas melalui Air Hitam ke Batu Pahat. Katanya untuk ke Kluang kena tukar bas lain dari Ayer Hitam.
Persiapan untuk ke sekolah asrama bukan murah. Ayah dan Ibu terpaksa mencari wang untuk membuat persiapan baju dan pakaian serta wang saku untuk aku ke asrama. Ayah dan ibu bawa aku ke Rumah Pak Cik Sareh & Mak Cik Pon di Felda Taib Andak untuk meminta bantuan. Aku masih ingat peristiwa ini dan kata kata semangat Pak Sareh & Mak Pon kepada aku untuk belajar bersungguh sungguh untuk ubah nasib keluarga. Aku kerap ke Felda Taib Andak sebelum ini untuk bantu kerja kerja di landang sawit dan juga menjaga ayam telor yang diternak di belakang rumah Pak Sareh.
Maka awal April 1974, Ayah , Ibu dan Aku memulakan perjalanan menaiki Bas South Johor untuk ke Air Hitam. Aku mengheret Beg pakaian yang penuh dengan pakaian dan peralatan yang disenaraikan oleh pihak Sekolah. Sampai di Ayer Hitam, Ayah mencari teksi untuk membawa kami ke Kluang.
Bermula lah perjalanan kehidupan seorang pelajar sekolah asrama. Ini pengalaman pertama untu aku berpisah dengan keluarga. Perasaan sedih dan bercampur gembira pon ada. Kami datang pada Khamis, sehari lebih awal dari yang sepatutnya pendaftaran pada hari Jumaat. Alasannya Ayah tidak ada masa pada esok hari. Satu rahmat kerana semasa sampai di perkarangan Sekolah pada jam 3 petang tiada kenderaan. Hanya kami sahaja. Ayah mencari petugas/ guru untuk menyerahkan aku. Ada seorang Cikgu Warden hadir dan menempatkan aku dalam satu bilik dengan Arif Kasmo dan beberapa pelajar dari Sabah yang sudah sampai lebih awal.
Sebenarnya Sekolah belum siap sepenuhnya, Padangan sekolah rumput belum tumbuh hijau, masih kemerahan lagi. Bilik Bilik Makmal belum lengkap dengan peralatan makmal.
Bermula lah sesi pengenalan pelajar baru. Kerana kami dikirakan Batch Pertama memasukki sekolah SMSJ, maka tiada istilah “Pelajar Senior” semuanya saling bersahabat. Pelajar paling senior atau pioneer ialah Pelajar Tingkatan 2 yang telah memulakan pengajian di Johor Bahru, menumpang di Maktab Sultan Abu Bakar / English Collage.
Aku ditempatkan di Kelas 4M1 bersama Halim, Kamsiah Seth, Razali Mahmud yang sama sama di SSI, Aliran Melayu ada 2 kelas sahaja. Maimunah Md Said rakan sama sekolah di SMK Majidee ditempatkan di 4M2.
Sebenarnya SMSJ juga menerima ramai pelajar dari Daerah Negeri Melaka dan N.Sembilan kerana SMS Melaka belum siap lagi. Terdapat pelajar datang di Tampin,Bahau, Rembau, Merlimau, Alor Gajah dll tempat di Melaka. Ada seorang pelajar Cina Leong datang jauh dari Iooh Perak. Kami semua bersahabat dengan baik sepanjang 2 tahun di Kluang.
Di SMSJ guru guru yang ditempatkan adalah guru guru yang terpilih lepasan Universiti dalam bidang masing masing. Sangat Mahir dalam matapelajaran yang diajar. Antara Cikgu Rahmad Molar yang mengajar Kimia, Cikgu Jalal, Guru Fizik, Cikgu Chin, Guru Matematik, Cikgu Kamisan guru kelas 4M1. Malah Cikgu Jalil guru Geografi merupakan lepasan Uni Malaya sangat pandai menarik minat pelajar ke mata pelajaran Geografi.
Disamping akademik kami didedahkan aktiviti sukan. Disebabkan aku pernah mewakil MSSD U15 Sepaktakraw, nama dipanggil untuk hadir ke padang High School Kluang utk sesi ujian masa. Cikgu Sukan Yunos Dahlan dan Cikgu Khamis didatangkan khas ke SMSJ. Bermula satu perjalanan menarik kegiatan sukan di SMSJ. Antara sukan yang aku ceburi di SMSJ ialah Takraw, Bolasepak, Rugby dan Basketball. Rugby dan Basketball 2 sukan asing buat aku.
Bersukan juga membawa kami berjalan jalan hujung minggu untuk mengadakan perlawanan persahabatan Bolasepak, Takraw atau Rugby. Yang seronoknya “ikatan kekeluargaan” yang dibina oleh Cikgu Yunos dan Cikgu Khamis menjadikan sukan satu kehidupan yang ceria. Selepas perlawanan Cikgu Yunos bawa kami ke rumahnya utk dijamu masakan isterinya Puan Robiah @Kak B
Cikgu Yusos merupakan bekas pemain rugby negara. Sangat berpengalaman dalam sukan rugby dan bolasepak. Berjaya membina minat kami kepada sukan Rugby dan Bolasepak dalam masa yang singkat.
Pasukan Bolakeranjang merupakan pasukan yang ditubuhkan dalam masa 6 bulan sebelum kami menyertai pertandingan antara Sekolah Sekolah Asrama Penuh 1975. Kerana bilangan pelajar bangsa Cina tidak ramai, maka Cikgu Chin telah memanggil beberapa pemain bolasepak dan Rugby untuk masuk dalam team Bolakeranjang. Maka kami sebagai “bidan terjun” hadir sesi latih yang sama sekali bertentangan dengan Rugby & Bolasepak.
Selain sukan terdapat pelbagai persatuan dan pasukan beruniform ditubuhkan. Aku memilih menyertai Pasukan Seni Silat, Badan Dakwah Islam BADAI, Persatuan Fotografi dan Persatuan Sejarah. Keseronokan berpersatuan ialah kami berpeluang mengadakan lawatan dan persembahan di sekitar negeri Johor menaiki bas sekolah beramai-ramai.
Dan dalam pemilihan Pengawas Sekolah, Cikgu Besar, Hamzah Rashid mencari pelajar yang pernah menjadi Pengawas sebelum ini. Jadi nama aku terpilih sebagai pengawas. Aku, Hamzah Harith,Paimon Kasimon. Yahya Selamat, Ariss Abu Yamin dan beberapa lagi duduk dalam satu dorm yang sama. Kami mendapat keistimewaan di dalam dewan makan. Ada Meja Khas untuk kami.
Kehidupan di asrama pada masa itu penuh dengan peraturan dan displin. Pada sebelah malam jam 8.00 mlm hingga 10.00 mlm waktu “prep malam” semua pelajar perlu ke kelas masing masing tidak boleh terlewat. Siapa terlewat akan dihukum termasuklah pengawas sendiri. Aku juga tidak terlepas disebat di tapak tangan kerana terlewat ke kelas malam oleh Cikgu Rahman Karim.
Kenakalan waktu muda tidak kira sama ada kamu Pengawas atau tidak. Pasa satu hujung minggu, siang hari kami ke bandar Kluang ternampak poster tayang gambar di Panggung Cerita Indonesia Dunia Belum Kiamat Oleh Mohsin dan Isterinya. Kami merancang untuk menonton tayang waktu jam 9.00mlm. Maka bersiaplah kami selepas Maghrib untuk menyusur keluar melalui pintu pagar tepi asrama menunjuk ke jalan utama. Apa yang kami tidak sedar ialah pada awal pagi kawasan lalang diluar pagar telah dibakar untuk dibersihkan. Maka pada malam hari bila kami melalui kawasan tersebut pakai kami dipenuhi debu hitam…. namun tekad diteruskan dengan berlari anak ke bandar Kluang.
Pengalaman diakhir persiapan Peperiksaan SPM /MCE, Cikgu semua sibuk memberi latih tubi dan latihan akhir untuk kami semua. Aku masih ingat tips Cikgu Jalil utk berjaya dalam mata pelajar Geografi mesti cepat melukis peta Malaysia, Peta Asia Tenggara dan gunakan Istilah bombastik dalam penulisan supaya nama lebih akademik. Malah beliau mencadangkan kami membaca majalah penulisan akademik Uni Malay untuk membiasakan dengan istilah akademik.
Akhir kami selesai menduduki Peperiksaan pada awal Disember 1975. Rancangan untuk mengadakan perkhemahan di Pulau Besar telah pon dirancang lebih awal pada bulan Oktober lagi. Maka sebaik selesai SPM, kami balik ke kampung halaman masing masing dulu. Pada akhir Disember 1975 aku dengan Halim Ismail telah berkunjung rumah Ismail Samad di Melaka terlebih dahulu sebelum berkumpulan di Jeti Umbai, Rumah Nizar Embi paling hampir dengan jeti. Manakala Rumah Nasir Ariffin di Sekam pon tak berapa jauh dari situ. Maka kami bermalam di Pulau Besar dengan seronok tanpa memikirkan apa risiko yang ada.